Tuesday, November 27, 2018

Biodata Penulis


Faridah Binti Yusof merupakan anak sulung dari lapan orang adik-beradik. Berasal dari Jasin, Melaka dan kini menetap di Seri Manjung, Perak.

Berusia 40 tahun dan berkeluarga serta dikurniakan empat cahayamata. Saat ini sedang sarat mengandung anak kelima. 

Pendidikan awal bermula dari asuhan dan didikan oleh ibu dan ayah di rumah. Kemudian ketika berumur 6 tahun mula bersekolah di Kindergarten Treacher Methodist, Taiping. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Convent Klian Pau, Taiping sehingga darjah 3, seterusnya Sekolah Kebangsaan Chenderah, Jasin, Melaka. 

Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah Melaka dari tingkatan 1-5 dan kemudian menyambung Foundation New Zealand (Accounting) di Kolej UNITEK Malaysia (sebelumnya dikenali sebagai Emile Wolf College, Kelana Jaya). Seterusnya menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan) Lincoln University , program kerjasama UNITEN di bawah tajaan MARA.

Pernah bekerja di pelbagai sektor sebelum menyambungkan pelajaran di peringkat ijazah dan selepas tamat belajar. Antaranya sebagai pembantu kedai serbaneka, kedai emas, kedai makanan segera dan operator pengeluaran di kilang jahit baju.

Setelah tamat belajar, sempat bekerja sebagai eksekutif akaun di bahagian akaun dan cukai di sebuah syarikat swasta. Tidak bertahan lama, akhirnya bertukar ke bidang pendidikan.

Bermula menjadi guru ganti di beberapa buah sekolah kebangsaan iaitu SK Seri Lanang, Jasin, SK Chinchin, Jasin dan SK Chohong, Jasin.

Kemudian menjadi guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen di Jasin. Seterusnya menjawat jawatan Guru Sambilan Bahasa Inggeris di Institut Kemahiran MARA Jasin. Kemudiannya menjadi Guru Bahasa Inggeris secara kontrak di Institut Kemahiran MARA Johor Bahru.

Selepas mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), akhirnya menjadi guru Bahasa Inggeris di bawah Kementerian Pelajaran bermula tahun 2006.

Mengajar di beberapa buah sekolah seperti SK Kundang Ulu, Muar. Kemudian setelah berkahwin dapat bertukar ke SK Terentang, Jasin. Kemudian berpindah lagi mengikut suami ke Sabah.

Di Sabah, pernah mengajar di dua buah sekolah iaitu SK Bukit Padang, Kota Kinabalu dan SK Gantisan sebelum meletakkan jawatan pada April 2011.

Setelah meletakkan jawatan, menjadi suri rumah sepenuh masa dan berniaga secara atas talian serta mengajar anak membaca di rumah. Juga menjadi tutor lisensi Kelas Membaca di Seri Manjung, Perak.