Sunday, December 9, 2018

Apa Itu Membaca?

Apabila sebut tentang membaca, apakah yang kita dapat fikirkan mengenainya?

Boleh jadi kita terbayang seseorang sedang memegang sebuah buku, majalah atau surat khabar. Matanya tertumpu kepada apa yang ada di hadapannya. Tetapi, apakah sebenarnya yang berlaku sewaktu kita membaca?

Bagaimana pula seorang anak kecil membaca?

Mari kita lihat definisi umum membaca.

Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, membaca bermaksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.

Manakala, dari Kamus Pelajar Edisi Kedua, membaca bermaksud membunyikan huruf-huruf yang ditulis;melihat dan memahami apa -apa yang tertulis.

Secara asasnya, kita dapat memahami bahawa membaca ialah satu proses yang melibatkan deria penglihatan dan bahagian otak yang memproses apa yang dilihat. Otak akan memproses maklumat /simbol yang diterima berdasarkan maklumat terdahulu yang sudah tersimpan di dalam otak. Proses ini turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti emosi dan sebagainya. Proses ini seterusnya memberikan pemahaman dan menentukan tindakan seseorang.

Oleh itu, seseorang yang rajin membaca mempunyai lebih banyak maklumat dan otaknya lebih cepat memproses maklumat tersebut semasa membaca.

Manakala, bagi seorang anak kecil, sebelum mereka dapat menguasai kemahiran membaca seperti orang dewasa, mereka perlu diberikan maklumat dan informasi. Ini dapat dilakukan melalui aktiviti membacakan mereka buku cerita, bercerita kepada mereka, komunikasi dan interaksi dengan persekitaran mereka secara menarik, menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia dan kemampuan mereka.

Saya tertarik dengan ungkapan yang di sebut oleh Puan Nik Eliani di dalam bukunya, Anak Kecil Membaca Awal, "Literasi bukanlah satu anugerah, tetapi ia adalah hak setiap kanak-kanak." Anak-anak kecil berhak untuk belajar membaca seperti mana mereka berhak untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kasih sayang dan keselamatan.

Maka, kemahiran membaca ini boleh diajarkan kepada anak kecil melalui ransangan dan dorongan yang bersesuaian dari yang orang terdekat dengan mereka seperti ibu bapa, ahli keluarga atau penjaga. Ransangan dan dorongan untuk membaca ini boleh bermula sejak anak di dalam kandungan. Ini kerana perkembangan fizikal dan otak anak bermula sejak dari dalam kandungan ibunya.

No comments:

Post a Comment