Tuesday, December 4, 2018

Raikan Kejayaan Kecil Anak

Belajar membaca bukan sesuatu yang mudah bagi seorang anak kecil. Anak kecil cepat merasa bosan dan  hilang tumpuan.

Walau bagaimanapun, dengan menjadikan suasana belajar yang menarik, pendek dan tidak memberi tekanan kepada anak kecil, pastinya anak kecil boleh belajar membaca dengan baik.

Apabila anak kecil dapat menguasai satu kemahiran membaca seperti dapat mengenal huruf atau bunyi, maka raikanlah kejayaannya.

Untuk meraikan kejayaan kecil itu, ibu bapa tidak perlu pening kepala atau berbelanja besar. Anak sudah tersenyum riang dengan tepukan tangan, tepuk hi-5, sorakan hooray, pelukan, ciuman, ucap Alhamdulillah atau ucapan kata-kata positif seperti " Tahniah! Anak ibu sudah berusaha bersungguh-sungguh, sudah kenal huruf/bunyi..".

Ibu bapa juga boleh meraikan usaha dan kesungguhan anak belajar membaca dengan secawan atau segelas minuman atau biskut kegemarannya.

Saya masih ingat ketika mengajar anak yang sulung membaca. Biasanya selepas membaca, anak minta dibawakan ke padang permainan atau sama-sama buat biskut. Adakalanya, dia cuma minta sticker bercorak kartun untuk dilekatkan pada muka surat buku yang telah dibaca. Mudah dan murah sahaja.

Apa yang utama, dengan meraikan kejayaan kecil ini, anak merasa seronok dan mahu terus belajar membaca.

No comments:

Post a Comment