Monday, December 3, 2018

Usia Anak Mula Belajar Membaca

Persoalan tentang umur atau usia yang sesuai untuk mula mengajar anak kecil membaca selalu menjadi tanda tanya di kalangan ibu bapa.

Adakah 3 tahun? 4 tahun? 5 tahun? 6 tahun? 7 tahun? Tidak terlalu awal mengajar anak membaca pada usia 3 atau 4 tahun? Adakah sudah terlewat mengajar anak pada usia 6/7 tahun?

Sejujurnya, sebelum ini saya juga tidak tahu pada usia bilakah saya boleh mula mengajar anak-anak saya membaca. Walau bagaimanapun, setelah mencari maklumat, bertanya kepada beberapa orang yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan melalui pembacaan, kini saya lebih yakin untuk mengajar anak membaca tidak kira pada berapa usianya.

Belajar membaca melibatkan proses dan tempoh yang berbeza mengikut kemampuan dan kesediaan anak. Ia bukan sekadar memperkenalkan huruf atau bunyi kepada anak, ajar anak membaca setipa hari, latih tubi membaca dan kemudian anak pun pandai membaca. Tidak. Ia bukanlah seperti itu.

Apa yang perlu ibu bapa tahu sebelum mula mengajar anak?

Sebelum mula mengajar anak membaca atau menghantar anak ke kelas membaca, ibu bapa perlu memastikan kesediaan anak.

Adakah anak sudah bersedia untuk belajar? Apakah pula ciri-ciri anak yang sudah bersedia untuk belajar membaca?

Perkembangan dan pertumbuhan fizikal dan mental setiap anak adalah berbeza walaupun anak-anak ini lahir dari ibu bapa yang sama.

Perhatikan kepada perkembangan fizikal dan mental termasuk kemahiran berbahasa atau berkomunikasi anak.

Adakah anak sudah boleh bercakap dengan lancar dan tidak pelat, boleh mendengar dan mengikut arahan dan boleh memberi respon kepada soalan dengan baik?

Perhatikan juga kepada kemahiran motor halus dan kasarnya. Adakah anak sudah boleh menconteng, memegang pensel dengan betul, menyelak muka surat buku? Menggunting? Mengoyakkan kertas? Bagaimana pula kordinasi mata dan tangannya?

Lihat juga adakah anak sudah dapat membezakan kanan dan kiri? Tangan kanan dan tangan kiri?

Adakah anak teruja melihat buku? Suka dan leka dengan buku? Memerhatikan gambar-gambar di dalam buku dan bertanya kepada anda tentang gambar di dalam buku?

Adakah anak mampu mengingat dan menyebut kembali perkataan atau nama benda yang baru didengarnya?

Adakah anak anda dapat menceritakan tentang gambar atau perkara yang dilihat dengan bahasa mereka sendiri?

Sekiranya jawapan bagi soalan-soalan di atas adalah YA. maka anak anda sudah bersedia untuk belajar membaca. Walaupun ketika itu umurnya baru 3 atau 4 tahun. Ini kerana kebanyakan ciri-ciri ini sudah dapat dilihat pada anak yang berumur 3/4 tahun. Tidaklah menjadi kesalahan untuk anak belajar membaca pada usia 3/4 tahun.

Walau bagaimanapun, kaedah dan teknik mengajar untuk anak yang berumur 3/4 tahun tidak sama dengan anak yang berumur 7 tahun ke atas. Anak-anak berumur 3/4 tahun masih lagi bermain dan mereka banyak belajar melalui aktiviti bermain. Maka, kaedah dan teknik mengajar perlu bersesuaian dengan umur dan tahap perkembangan anak. Jangan menekan dan memaksa anak sekiranya anak tidak mahu belajar membaca.

Oleh yang demikian, ibu bapa pastikan dahulu kesediaan anak dan terus mendorong mereka mengikut perkembangan dan kemampuan anak. Dengan kaedah dan teknik yang sesuai dan menarik, yakinlah anak pastinya dapat belajar dan membaca dengan baik.

No comments:

Post a Comment