Sunday, December 2, 2018

Ibu Bapa Sebagai 'Role Model'

Pepatah  Melayu ada menyebut, "bagaimana acuan, begitulah kuihnya". Ibu bapa umpama acuan dalam membentuk peribadi, minat dan sahsiah anak. Ibu bapa jugalah yang menunjukkan contoh tauladan samada yang positif atau negatif kepada anak-anak.

Anak-anak sebenarnya sedari kecil sentiasa melihat dan memerhati ibu bapa mereka. Setiap perilaku, kata-kata dan tabiat ibu bapa menjadi perhatian dan ikutan anak-anak.

Ibu bapa yang rajin membaca berpotensi membentuk anak yang gemar membaca. Anak-anak kecil yang seringkali melihat ibu bapa kerap memegang dan membaca buku mudah meniru aksi seperti ibu bapa mereka. Anak-anak ini juga akan kerap memegang buku dan meniru seolah-olah sedang membaca biarpun mereka belum tahu membaca. Yang mencuit hati, mereka memegang buku juga terbalik. Adakalanya membaca kuat dalam bahasa dan cerita mereka sendiri.

Teringat anak keempat saya, Muhammad Daniyal yang berumur tiga tahun. Jika melihat saya membaca buku, dia juga akan pergi mengambil buku kecilnya dan duduk di sebelah saya. Selalunya buku kegemarannya ialah tentang kereta, jentera atau haiwan. Dia akan minta saya bacakan atau dia akan bertanya tentang gambar di dalam buku.

"Mama, ni apa?" sambil jari kecilnya menunjuk ke arah gambar di dalam buku.

Biarpun berulangkali membaca buku yang sama mereka tidak pernah merasa jemu atau bosan. Ibu bapa  janganlah jemu dan bosan untuk bacakan mereka buku atau menjawab soalan yang sama dari mereka pula. Inilah peluang untuk mendorong anak untuk suka membaca. InsyaAllah akan nampak hasilnya.

Cubalah seberapa kerap menunjukkan kepada anak bahawa kita ibu bapa yang membaca. Kurangkan menonton televisyen atau video yang tidak bermanfaat. Minimakan penggunaan telefon pintar di hadapan anak-anak. Jika perlu menggunakan telefon, terangkan kepada anak bahawa ibu atau ayah sedang bekerja.

No comments:

Post a Comment