Monday, December 3, 2018

Niat Dan Matlamat Ajar Anak Membaca

Sebelum mula mengajar anak membaca atau menghantar anak ke mana-mana kelas membaca, sebagai ibu bapa kita perlu memasang niat dan meletakkan matlamat yang jelas.

Tanyakan di dalam hati, apakah niat dan matlamat utama mahu anak belajar membaca?

Bukanlah menjadi satu dosa jika kita mahu anak pandai membaca. Apatah lagi jika kita mahu anak sudah boleh membaca di awal usia.

Jadi, apakah niat dan matlamat ibubapa untuk anak belajar membaca di awal usia?

Maka, sewajarnya niat dan matlamat untuk mengajar anak membaca awal tidak lain dan tidak bukan, hanyalah kerana Allah. Demi mencari redha Allah .

Sebagaimana perintah Allah di dalam surah Al-'Alaq yang bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan . Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah ke-96 : ayat 1-5)

Dari ayat Al-Quran tersebut, jelas menunjukkan perintah Allah untuk setiap manusia membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Di dalam Al Quran sendiri terkandung pelbagai ilmu dan maklumat yang berguna sebagai panduan hidup manusia. Bagaimana kita dan anak-anak dapat memahami Al-Quran jika kita tidak tahu membaca?

Malahan, anak-anak yang Allah kurniakan merupakan amanah kepada setiap ibu bapa. Ibu bapalah yang bertanggungjawab ke atas pelbagai aspek berkaitan anak-anak termasuklah mendidik anak.

Letakkan matlamat supaya anak yang membaca awal dapat menimba ilmu yang bermanfaat melalui pembacaan. Dengan ilmu yang bermanfaat, anak kelak membesar menjadi manusia yang beriman, berilmu, berakhlak dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Selain itu, dengan ilmu yang benar dan bermanfaat anak tidak  menjadi manusia yang jahil.

Sentiasa melihat niat dan matlamat ini supaya ibu bapa tidak menjadikan kejayaan anak dapat membaca awal sebagai satu kebanggaan dan kemegahan, tetapi sebagai satu tanggungjawab.

Ambil contoh tokoh-tokoh ilmuan pada zaman dahulu yang pada usia muda telah dapat menguasai pelbagai ilmu dan memberi manfaat kepada manusia lain melalui ilmu tersebut.

Sebaliknya, jika anak tidak dapat membaca awal, ibu bapa tidak cepat merasa sedih dan kecewa. Tetapi ibu bapa dapat terus berusaha dan berdoa supaya anak-anak dapat belajar membaca mengikut kemampuan anak.

Jika anak didapati masih gagal membaca pada umur yang sepatutnya, anak ini tidak dilabelkan dan dihinakan sebagai tidak pandai, lemah, lambat dan sebagainya. Ibu bapa dapat terus berusaha mendapatkan pandangan dan merujuk kepada yang pakar.

Dengan niat dan matlamat yang jelas, ibu bapa akan tetap berkeyakinan anak akan dapat membaca dan terus mendorong serta menyokong anak belajar membaca sehingga berjaya. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment