Sunday, December 2, 2018

Kemahiran Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran yang perlu ada pada setiap anak-anak kita. Penguasaan kemahiran membaca yang baik dapat membantu anak-anak untuk meningkat dan mengembangkan pengetahuan, potensi dan kemahiran-kemahiran lain pada diri mereka.

Kemahiran membaca adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh setiap anak. Ia melibatkan pelbagai proses sebelum anak dapat membaca dengan lancar dan memahami serta mengambil manfaat dari apa yang dibaca. Ia juga satu proses yang memerlukan usaha yang berterusan.

Keperluan pendidikan kanak-kanak pada masa kini juga menuntut anak-anak menguasai kemahiran membaca lebih awal. Ia jauh berbeza dari zaman saya dan adik beradik bersekolah rendah. Dahulu, jika murid memasuki Tahun 1 masih belum boleh membaca adalah perkara biasa. Di sekolahlah, murid belajar mengenal ABC, membaca dan menulis.

Namun kini, anak-anak memasuki Tahun 1 yang belum tahu membaca dan tidak dapat menulis nama mereka sendiri berkemungkinan besar akan menghadapi kesukaran dalam pelajaran mereka di sekolah. Jika tidak diatasi, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran, hilang keyakinan diri dan tidak lagi berminat untuk belajar.

Berdasarkan pengalaman sendiri, saya dapati anak kedua yang belum dapat membaca ketika melangkah ke Tahun 1 menghadapi banyak masalah dalam pelajaran. Kesannya, anak tidak mahu pergi ke sekolah dan tidak minat untuk belajar. Pengalaman ini memberi banyak pengajaran dan kesedaran kepada kami tentang tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak menguasai asas kemahiran membaca sebelum memasuki persekolahan formal.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak menguasai asas kemahiran membaca dari awal lagi. Tanggungjawab mengajar membaca adalah antara tugas yang perlu dipikul secara bersama oleh ibu bapa. Ia bukan tanggungjawab guru tadika atau guru sekolah rendah semata-mata.

Di rumah, ibu bapa berperanan dalam meransang, mendorong dan menyediakan anak untuk bersedia belajar membaca. Malahan, pada masa kini didapati ramai ibu bapa yang telah berjaya mengajar anak mereka membaca di rumah.

Manakala, di sekolah, anak yang sudah boleh membaca dapat mengembangkan lagi kemahiran bahasa dan ilmu pengetahuan lain melalui pelbagai mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah dan pelbagai bahan bacaan yang bermutu di perpustakaan sekolah.

No comments:

Post a Comment